SELAMAT DATANG KE BLOG NUTE CAWANGAN ST

SELAMAT DATANG KE BLOG NUTE CAWANGAN ST

PERJANJIAN CA9 NUTE-TM



KUALA LUMPUR 19 Julai - Telekom Malaysia Bhd. (TM) telah memeterai Perjanjian Bersama (CA) kesembilan dengan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Telekomunikasi Semenanjung Malaysia (NUTE), yang merangkumi penambahbaikan terma dan syarat perkhidmatan kepada anggota bukan eksekutif TM di Semenanjung Malaysia serta Labuan.
Menurut TM dalam kenyataannya hari ini, dalam majlis menandatangani perjanjian tersebut, syarikat diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa, manakala NUTE diwakili oleh Presidennya, Mohd. Jafar Abdul Majid.
Selain memeterai perjanjian dengan NUTE, majlis tersebut turut menyaksikan termeterainya CA dengan anak-anak syarikat TM yang tertakluk di bawah perjanjian yang sama iaitu Telekom Sales & Services Sdn. Bhd. (TSSSB), TM R&D Sdn. Bhd. (TM R&D), TM Info-Media Sdn. Bhd. (TMIM) dan Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKL).
Zamzamzairani berkata, pihaknya gembira dengan perkembangan tersebut kerana menganggap pengekalan hubungan harmoni antara anggota dan pengurusan syarikat amat penting dalam membuahkan hasil yang baik kepada syarikat.
TM dan NUTE bersetuju dengan tiga terma utama dalam CA tersebut seperti umur persaraan 60 tahun, pelarasan gaji tahunan akan diberikan untuk tiga tahun iaitu 2013 hingga 2015 pada kadar 5.5 peratus bagi tahun yang pertama dengan pengunduran tarikh bermula Januari 2013.
Kadar pelarasan bagi tahun-tahun berikutnya akan ditentukan kemudian, bergantung kepada prestasi syarikat. Ketiga ialah penambahbaikan artikel berkaitan tatatertib.
Selain perubahan-perubahan utama dalam CA kesembilan itu, anggota-anggota bukan eksekutif juga akan menerima kenaikan elaun seperti Elaun Bantuan Perumahan, Elaun Kos Sara Hidup (COLA), penginapan, syif, tunggu sedia (on-call), kesusahan, perpindahan dan Elaun Kapal Kabel.
Anggota-anggota bukan eksekutif TM turut diwakili oleh Kesatuan Pekerja Telekomunikasi Sabah (SUTE) dan Kesatuan Pekerja Telekomunikasi Sarawak (UTES). CA untuk kesatuan-kesatuan ini akan menyusul minggu hadapan.